Search This Blog

7 November 2012



Akhirnya, siap juga projek aku untuk bilik anak aku. Banyak sangat kerja, sampai takde masa nak buat. Orang tanya, 'kenapa tak beli je? Kan senang.' Tapi untuk aku yang suka buat benda-benda macam ni, lagi puas hati buat sendiri. Lagi pun nak gie beli, takde masa terluang. Kalau dekat ofis aku ni, banyak kedai, takpe la juga. Ni yang ada cuma kedai makan, bengkel. Kalau nak beli apa-apa, kenalah gie jauh. Ada transport sendiri, takpe la juga. Ne nak mengharapkan ihsan orang je. Malas la macam tu.. Jadinya, buat sendiri, lagi puas hati. Betul tak?


23 October 2012

Selamat Hari Raya AidilAdha

Salam semua. Di kesempatan yang ada ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha. 
Tahun lepas, niat dihati untuk melakukan ibadat korban, tidak kesampaian kerana masalah kewangan dan pada masa yang sama saya baru mula bekerja. Jadi niat tu saya tunda ke tahun ni. Tapi mungkin masih belum sampai waktunya, saya masih tak dapat tunaikan niat tersebut kerana hidup saya masih belum stabil. Masih bergelut untuk membetulkan segala macam. Harap-harapnya tahun depan, saya dapat tunaikan niat ni. 
Kadang-kadang, rasa cemburu dengan mereka yang mempunyai perjalanan hidup yang mudah. Tak terlalu banyak masalah yang dihadapi. Tapi saya masih bersyukur kerana saya tahu Allah Maha Mengetahui setiap apa yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya. Sekurang-kurangnya saya akan sentiasa beringat dan tak mudah lupa dengan segala kesenangan yang dimiliki. 
Saya tahu Allah menyayangi saya sebab tu Allah berikan ujian ini untuk saya sentiasa mengingati Dia. Semoga saya terus cekal dan tabah dalam mengharungi setiap dugaan dan cabaran. Dan semoga saya menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan rahmat-Nya. Amin.



17 October 2012

Artis Malaysia (Malaya) Pertama Ke Hollywood

Dalam mencari cerita penglibatan awal Shaheizy Sam dalam bidang seni (kerana terdapat sedikit perbalahan dengan seseorang, dimana dia menyatakan bahawa shaheizy sam terlibat dalam dunia nyanyia baru lakonan), tiba-tiba terbuka satu website laman hiburan tempatan dimana saya telah terjumpa satu infomasi yang baru bagi saya.
Saya baru mengetahui bahawa artis Malaysia (Malaya pada waktu itu) yang pertama berlakon di Hollywood adalah Arwahyaham Ibrahim Pendek. Filem tersebut bertajuk 'The Spiral Roads'.
Kerana infomasi tersebut, saya juga telah membuat carian di You Tube untuk melihat aksi beliau dan akhirnya saya terjumpa satu babak lakonan beliau dalam filem tersebut. Apa yang membanggakan lagi apabila di dalam filem tersebut beliau bertutur dalam bahasa melayu.
Untuk membaca lebih lanjut mengenai info ini, boleh klik disini.


16 October 2012

Orang Sakit - cara solat duduk atas kerusi

Saya terbaca satu artikel mengenai solat untuk orang sakit dan saya teringin untuk kongsikan bersama anda semua. Artikel ini diambil dari majalah 'FARDU AIN - EDISI KE 7'.

Bahagian Fiqh Amali (m/s 35) - Tulisan: Ustaz Haji Ahmad Baei Jaafar


Dua tiga kali juga saya memerhatikan seorang pegawai keselamatan di sebuah hospital, solat dengan cara duduk sambil kaki kanannya dilunjurkan ke hadapan. satu hari saya menegurnya: "Tuan, kenapa dengan kaki tuan?" "Saya kemalangan dan dengan sebab itu saya tidak boleh lipat kaki seperti biasa," jawabnya. Saya terus bertanya, "Tuan boleh berjalan dengan baik tetapi mengapa tuan tidak boleh solat berdiri?" Jawabnya mudah, "Kalau saya berdiri, sukar pula saya hendak duduk semula." 

Mungkin alasan itu boleh diterima dan caranya itu boleh memudahkan urusan solatnya. Tetapi anda mungkin pernah bertemu dengan orang yang solat duduk di atas kerusi. Dia bawa kerusi itu dari rumah, malah mampu berjalan dengan baik. Setelah diletakkan kerusi itu, dia duduk dan memulakkan takbir. Sepanjang empat rakaat Isyaknya, dia solat dalam keadaan duduk. Adakah sah solatnya?

Mari kita lihat rukun solat iaitu rukun pertama, berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap rukuk tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardu.

Berdasarkan rukun tersebut, perlu kita tanya mereka yang solat duduk itu, adakah dia boleh berdiri? Dalam kes diatas, tentu kita tidak perlu bertanya lagi kerana memang kita nampak dia boleh berjalan dengan baik. Ertinya dia boleh berdiri lama. Jika rukun pertama sudah tidak dipatuhi, bagaimana kedudukan solat itu?

Inilah perkara yang jarang diperhatikan oleh umat Islam. Kita tidak nafikan amalan dalam Islam tidak membebankan umatnya. Perkara yang susah akan dimudahkan jika perlu, rukhsah namanya. Tetapi rukhsah itu ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Mari teliti cara solat yang betul bagi orang sakit sebegini:
  • Untuk dua kes diatas, mereka hendaklah berdiri terlebih dahulu. Lakukan rukun tadbir, membaca al-Fatihah dan surah berikutnya dalam keadaan itu sehingga rukuk dan iktidal.
  • Untuk sujud, duduklah diatas kerusi atau lunjurkan kaki ke hadapan bagi yang duduk diatas lantai. Kemudian tundukkan kepala ke hadapan setakat yang mampu. Bacalah bacaan dalam sujud seperti biasa. Kemudian duduk antara dua sujud dan lakukan sujud sekali lagi seperti yang pertama.
  • Untuk rakaat yang kedua, berdiri semula bagi yang duduk diatas kerusi, tetapi bagi yang duduk berlunjur, bolehlah duduk dalam keadaan itu jika sukar untuk bangun semula.
  • Ulangi pergerakkan itu sehingga selesai empat rakaat, iaitu salam.

Merujuk kepada mereka yang duduk berlunjur itu, ia bergantung kepada kesihatan dan kemampuannya. Jika dia boleh bangun semula tanpa mendatangkan apa-apa mudarat dan tidak mengganggu orang yang solat di sebelahnya (solat jemaah), hendaklah dia bangun berdiri seperti orang lain juga.

Walau bagaimanapun, bagi mereka dalam kes diatas, jika untuk duduk berlunjur pun perlukan bantuan orang atau boleh mengganggu jemaah lain, bolehlah dia duduk sepanjang solatnya walau dia boleh berjalan dengan baik.

Perlu diingat juga, berdasarkan rukun diatas, hukum berdiri ini hanya khusus untuk solat fardu sahaja. Ini bermakna untuk sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya adalah sunat. Jadi, jika mampu solat berdiri, lakukan dengan berdiri.

Bagi mereka yang terus duduk, rukuknya hendaklah dengan menundukkan kepala ke hadapan sedikit dan bacalah bacaan dalam rukuk sebagaimana biasa. Cara ini hendaklah dibezakan dengan sujud yang tunduknya sampai ke tahap yang paling rendah yang dia mampu.

Adalah diharapkan umat Islam dalam keuzuran ini dapat memberi perhatian terhadap solat agar dilakukan dengan sempurna menurut kaedah yang betul. Ingatlah kalau solat tidak sah, ibadah yang lain boleh jadi tiada nilaiannya di sisi Allah. Selamat mencuba yang terbaik untuk Allah.





15 October 2012

Salam

Salam semua. Baru mula nak berblogging. Nak kongsi pelbagai cerita, kisah, tauladan, dan apa sahaja yang terlintas di hati dan fikiran. Semoga yang baik akan dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Sama-sama saling ingat-mengingatkan.